Thursday, November 6, 2008

Jawapan Parlimen : Ekuiti Bumiputera mengikut kategori Melayu, Orang Asli semenanjung dan M’sia Timur

Soalan : YB Charles Santiago [klang] minta Perdana Menteri menyatakan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat (19.4%) seperti dalam laporan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-9 mengikut kategori Melayu Semenanjung, Orang Asli Semenanjung dan Orang Asli Sabah dan Sarawak.

Jawapan :

Tuan Yang Dipertua,

Pada masa ini, maklumat mengenai ekuiti mengikut etnik yang diperolehi oleh Kerajaan hanyalah terhad kepada beberapa kategori umum sahaja iaitu Bumiputera, India, Cina dan lain-lain. Maklumat pemilikan oleh pelbagai suku kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak dikelompokkan secara bersama dalam kategori Bumiputera dengan pecahan sub-kategori mengikut jenis pemilikan oleh individu, institusi dan agensi amanah.

Usaha Kerajaan untuk membangunkan masyarakat di Sabah dan Sarawak bukanlah terhad kepada pemilikan ekuiti sahaja. Kerajaan percaya melalui program pendidikan dan peningkatan akses kepada pelbagai bentuk kemudahan serta bantuan akan membolehkan masyarakat berfungsi dengan lebih baik di dalam ekonomi dan seterusnya dapat menjana pendapatan dan mengumpul kekayaan termasuk melalui pemilikan ekuiti. Kerajaan sedar sememangnya banyak lagi usaha perlu diteruskan di Negeri Sabah dan Sarawak. Kerajaan yakin, dengan pendekatan ini yang dilaksanakan secara konsisten akan membawa kepada pembangunan masyarakat Sabah dan Sarawak yang lebih bermakna.

Untuk makluman Yang Berhormat, secara umumnya, dasar pengagihan negara adalah untuk merapatkan lagi jurang ekonomi di antara pelbagai kaum dalam negara khususnya di antara Bumiputera dan bukan Bumiputera. Adalah menjadi hasrat Kerajaan untuk melihat semua suku kaum Bumiputera di Semenanjung, Sabah dan Sawarak menikmati faedah pembangunan secara saksama dan seterusnya membantu merapatkan lagi jurang ekonomi di kalangan pelbagai suku kaum. Bagi memperkemaskan lagi maklumat Kerajaan, satu pangkalan data yang komprehensif bagi memantau kemajuan Bumiputera dalam sektor korporat kan dibangunkan dalam tempoh akhir RMKe-9 yang dijangkakan akan dapat memberikan maklumat struktur hak milik korporat yang lebih terperinci.

No comments:

Post a Comment